mutakhir

Umrah 'backpacker' boleh undang masalah

Kuala Pilah: Umat Islam dinasihatkan tidak menunaikan umrah atau haji secara sendirian atau ala ‘backpacker’ bagi mengelakkan timbul sebarang masalah.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Johan Abdullah berkata, perkara yang perlu diberi keutamaan ialah visa khas.

Katanya, visa penting kepada jemaah haji atau umrah untuk memasuki Makkah dan hanya boleh dikeluarkan oleh Kementerian Haji Arab Saudi dan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

“Jadi mereka tidak boleh memohon visa di tempat lain. Namun, jika mereka ada memiliki visa yang dimohon di negara ini, tidak menjadi masalah mengerjakan umrah atau haji secara bersendirian.

“Tetapi apabila timbul masalah seperti terkandas menjadi tanggungjawab TH untuk membantu mereka dalam kesusahan,” katanya selepas majlis penyerahan zakat perniagaan TH bernilai RM1.88 juta kepada Pusat Zakat Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, semalam.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan mencemar duli menerima replika cek zakat perniagaan berkenaan daripada Johan dan diserahkan kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Hadir sama, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Pengarah TH negeri, Mohamad Khairi Dasemin.

Johan berkata, pembayaran zakat bagi Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan RM1.9 juta berbanding RM1.76 pada 2013.

Disiarkan pada: March 6, 2015 @ 7:56am
d