mutakhir

3 beranak parah ditetak

Ipoh: Tiga beranak cedera parah termasuk seorang hampir putus kaki kiri akibat ditetak dengan parang oleh sekumpulan lelaki di rumah mereka di Taman Maju Rapat, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, mangsa adalah seorang lelaki berusia 47 tahun dan dua anaknya iaitu seorang anak lelaki berusia 17 tahun serta seorang anak perempuan berusia 20 tahun yang kakinya hampir putus akibat ditetak.

Menurut sumber, keluarga malang terbabit dipercayai diserang sekumpulan lima suspek yang menaiki sebuah kereta Mercedes yang menceroboh rumah mangsa dan menetak kesemua mangsa sebelum melarikan diri.

“Mangsa lelaki berkenaan cedera pada bahagian belakang badan manakala anak lelaki pula luka pada tangan kiri dan paling parah adalah anak perempuannya yang hampir putus kaki kiri selain mengalami kecederaan lain di bahagian kaki kanan serta perut.

“Kejadian dipercayai bermotifkan dendam apabila seorang daripada suspek dikatakan menyasarkan serangan terhadap wanita terbabit manakala bapa serta adiknya yang cuba membantu turut menjadi mangsa tetakan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, semua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan dan mangsa wanita yang parah difahamkan terpaksa menjalani pembedahan untuk menyambung kakinya yang hampir putus.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 4.40 pagi dan sepasukan anggota polis bergegas ke rumah mangsa sebelum mendapati tiga mangsa membabitkan dua lelaki dan seorang wanita cedera parah.

“Berdasarkan maklumat awal yang kami peroleh, suspek dipercayai lima lelaki berbangsa India dan setakat ini seorang daripadanya berjaya ditahan untuk membantu siasatan.

“Kes ini juga bukan membabitkan pergaduhan kaum dan polis akan menyiasat dari semua sudut,” katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2015 @ 7:58am
d