mutakhir

Tindakan ikut POTA dilaksana tahun ini

Kota Bharu: Kerajaan mengambil tindakan mengikut Akta Antikeganasan (POTA) terhadap suspek militan yang menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) pada masa hadapan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pejuang IS dari luar negara yang datang ke negara ini dikenakan tindakan mengikut akta sama.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan POTA dilaksanakan mulai tahun ini untuk mencegah aktiviti keganasan.

“Bulan depan, saya bentangkan POTA di Parlimen, malah semalam (kelmarin) Parlimen dengar pembentangan dari Peguam Negara berkenaan draf akta ini dan minggu depan ia akan dimuktamadkan.

“Sebelum ini, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Kanun Keseksaan dikenakan terhadap mereka dan akta ini adalah langkah pencegahan untuk mengelakkan aktiviti keganasan berlaku,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Petugas Pengurusan Banjir Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rakaman video mengenai dua rakyat Malaysia yang disyaki menyertai kumpulan militan IS dan terbabit dengan insiden menyembelih seorang rakyat Syria yang ditawan di kem tahanan Raqqa, Syria.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Zahid berkata, seluruh rakyat Malaysia terutamanya ahli Parlimen perlu menyokong penubuhan akta itu dalam usaha mencegah aktiviti keganasan.

“Semua pihak tidak perlu bimbang kerana ia bukan menggantikan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad.

“Sebarang perbezaan pendapat, perbezaan politik dan perbezaan yang tidak demokratik ia tidak diambil kira di bawah akta ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Ahmad Zahid berkata, tiada keperluan untuk menubuhkan badan khas bagi menangani bencana alam kerana JPAM berkemampuan menggalas tanggungjawab itu.

Disiarkan pada: March 6, 2015 @ 8:58am
d