mutakhir

Enggan rakyat bersedih hilang ahli keluarga

Kuala Lumpur: “Denggi mampu membunuh,” tegas Datuk Seri Najib Razak sambil mengingatkan orang ramai supaya mempunyai maklumat berkaitan tanda dan gejala demam berbahaya berkenaan yang semakin menular ketika ini.

Perdana Menteri melahirkan kebimbangannya kerana enggan melihat rakyat menderita atau bersedih akibat kehilangan ahli keluarga gara-gara denggi.

Sehubungan itu, beliau mahu anggota masyarakat yang ada tanda-tanda walaupun sedikit segera mendapatkan nasihat dan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

“Pastikan maklumat mengenai tanda-tanda serta gejala denggi diketahui rakan serta keluarga anda. Sekiranya ada walau sedikit tanda-tanda seperti ini, terus dapatkan nasihat dan rawatan di klinik dan hospital terdekat atau hubungi Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-88810600,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui status laman Facebook peribadinya semalam.

Ini adalah peringatan kedua Perdana Menteri dalam tempoh dua minggu selepas yang pertama pada 17 Februari lalu yang menunjukkan beliau memandang serius ancaman denggi di Malaysia yang sudah meragut 62 nyawa dalam masa dua bulan tahun ini berbanding 29 bagi tempoh sama tahun lalu.

Melalui grafik yang dipaparkan bersama status itu, Najib turut menyatakan simptom denggi yang perlu diberi perhatian.

Antaranya sakit kepala, demam panas, sakit di belakang mata, sakit badan, pendarahan ringan gusi, hidung atau di bawah kulit dan ruam kulit.

Disiarkan pada: March 6, 2015 @ 9:00am
d