mutakhir

Perlu bukti ketegasan

Kuala Lumpur: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu memandang serius semua dakwaan yang dilemparkan terhadapnya terutama di media sosial dan bersedia menghadapi tindakan undang-undang sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat kecuaian atau penyelewengan dalam urus niaga 1MDB.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Lembaga Pengarah 1MDB perlu mengambil tanggungjawab bersama menghadapi sebarang kemungkinan termasuk memberi penjelasan mengenai beberapa urus niaga yang dilihat tidak memberi keuntungan jangka panjang kepada syarikat dan kerajaan.

“Kerajaan juga akan menanggung kerugian jika penstrukturan semula 1MDB membabitkan penjualan tanah TRX (Tun Razak Exchange) dan Bandar Malaysia yang diperoleh pada harga yang rendah daripada kerajaan dan hasil penjualan digunakan untuk membayar hutang syarikat.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa sebarang usaha untuk menangani isu 1MDB tidak wajar membabitkan tindakan menyelamat (bail out) syarikat terbabit dengan menggunakan dana awam,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, untuk membersihkan nama 1MDB, tindakan undang–undang juga hendaklah diambil terhadap sesiapa saja yang melemparkan tuduhan tidak berasas.

Muhyiddin juga menyambut baik arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya Ketua Audit Negara mengesahkan secara bebas akaun 1MDB di mana laporannya akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk penelitian lanjut.

Disiarkan pada: March 7, 2015 @ 5:22am
d