mutakhir

Ba' usir semangat jahat

Oleh Abd Rahman Adam

Miri: Menggendong bayi di dalam ba’ atau bakul khas yang dianyam daripada rotan, buluh, kulit kayu dan manik menjadi tradisi suku kaum Orang Ulu terutama masyarakat Kenyah di Sarawak.

Ba’ yang digunakan masyarakat itu sejak ratusan tahun lalu dipercayai memiliki tafsiran tersendiri yang dapat dilihat pada corak dan hiasan alat itu bagi menghalang pengaruh serta semangat jahat makhluk halus mengganggu bayi.

Ia lazimnya digunakan golongan wanita membawa anak kecil ketika melakukan rutin harian termasuk berkebun, melakukan kerja rumah dan mengerjakan sawah padi.

Seorang peniaga kraftangan Aweh Engat, 52, dari Long Moh, Ulu Baram berkata, dalam kepercayaan masyarakat Kenyah tradisional ada pantang-larang dalam penggunaan ba’, ia tidak dipakai sesuka hati.

Menurutnya, setiap motif atau corak manik yang dihasilkan pada ba’ tidak boleh digunakan sesuka hati kerana mempunyai makna dan kelompok yang menunjukkan kelas dan darjat seseorang.

“Sebagai contoh, keluarga daripada keturunan biasa atau ‘Panyen’ tidak boleh menggunakan ba’ yang dibuat untuk keluarga ‘Maren’ kerana darjat mereka tidak sama, malah ditegah menggunakannya untuk tujuan menunjuk-nunjuk.

“Sekiranya melanggar larangan itu, si pemakai serta ahli keluarga dan keturunannya akan ditimpa 90 musibah atau bencana yang sukar dielak,” katanya ditemui Pusat Kraftangan Miri, di sini.

Aweh berkata, lazimnya ba’ yang dihasilkan berbeza mengikut etnik berdasarkan pemilihan corak pada alat berkenaan, misalnya penggunaan motif manusia atau haiwan seperti anjing, burung kenyalang bagi kaum Kenyah Maren saja.

“Motif geometri pula melambangkan keluarga itu berasal daripada golongan Panyen. Mereka hanya boleh menggunakan ba’ yang khusus untuk etnik mereka.

“Bagi orang Maren, ba’ yang dihias menggunakan ukiran wang logam, manik dan taring binatang buas seperti gigi harimau dipercayai boleh mengeluarkan bunyi dan akan menakutkan kuasa jahat dari mengganggu bayi,” katanya.

Dalam pada itu, Aweh turut menjelaskan, ba’ juga sinonim dengan Pesta Ngalang iaitu upacara pemberian nama anak dalam masyarakat Kenyah.

“Ketika upacara ini, ibu bapa harus menggalas ba’ untuk membawa bayi selain digunakan sebagai barang hantaran atau tanda adat semasa upacara perkahwinan.

“Namun sejajar dengan peredaran zaman, penggunaan ba’ pada masa ini semakin kurang mendapat perhatian anak muda dan dikhuatiri seni indah dalam pembuatan ba’ mungkin akan dilupai,” katanya.

Mengulas lanjut, Aweh berkata, ba’ yang dihasilkan menggunakan buluh atau rotan ada dua jenis iaitu ba’ biasa yang berukiran biasa manakala ba’ yang dihias menggunakan manik dipanggil ba’ eno.

“Keunikan kraftangan ba’ sering menjadi tumpuan pelancong. Saya menjual ba’ dengan harga RM60 untuk ba’ biasa dan RM330 hingga RM380 bagi ba’ yang mempunyai corak dihasilkan menggunakan sulaman manik.

“Meskipun jualan seni kraftangan ini agak kurang, namun ba’ masih mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat Kenyah itu sendiri selain pelancong,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2015 @ 5:24am
d