mutakhir

Semangat ukhuwah jadi komoditi mahal

Babak-babak drama menjelang pemilihan PAS pada Jun ini nampaknya semakin menarik. Terkini ialah insiden Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad apabila mukanya ditumbuk selepas solat Subuh pagi kelmarin.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu ditumbuk oleh dua suspek lelaki kerana dikatakan bersikap kurang ajar.

Kurang ajar kepada siapa tidak dapat dipastikan maksudnya namun apa yang berlaku dalam PAS ketika ini ialah pertembungan antara dua kumpulan iaitu ulama dan yang dikatakan profesional.

Dalam sejarah pemilihan parti Islam itu, tidak pernah tercatat insiden pergaduhan atau tumbuk menumbuk sesama ahli apatah lagi pemimpin mereka. Kebiasaannya ia berjalan lancar, teratur dan tanpa sebarang insiden.

Bagaimanapun kebelakangan ini, banyak perkara berlaku dalam PAS dan paling mengejutkan ialah apabila Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan akan dicabar pada pemilihan oleh lebih dari seorang pencabar. Itu ramalannya.

Pemimpin nombor satu PAS itu tidak pernah dicabar sejak beliau mengambil alih jawatan berkenaan berikutan kematian Datuk Fadzil Noor pada 2002.

Beberapa pemimpin parti itu menjadi sasaran penyokong golongan ulama kerana dikatakan dalang dalam komplot menggulingkan Abdul Hadi.

Antara pemimpin yang dicop adalah Timbalan Presiden Mohamad Sabu atau Mat Sabu dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Hatta Ramli.

Sebenarnya pemilihan dan demokrasi dalam PAS memang diakui dalam perlembagaan parti. Walaupun mempunyai Majlis Syura Ulama (MSU), parti itu berpegang teguh kepada konsep demokrasi selagi tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah. Kerana itu, mana-mana jawatan dalam parti boleh dicabar oleh sesiapapun sekiranya memperoleh pencalonan yang mencukupi.

Tetapi yang menjadi isu panasnya ialah jawatan itu cuba dicabar dengan cara tidak bersih dan tidak atas semangat ukhuwah Islam yang selama ini menjadi tunjang kekuatan PAS.

Sesuatu yang di luar fitrah parti terbabit yang berlaku ketika ini ialah fitnah melata tidak terkawal, kata-kata kesat dilemparkan sesama pemimpin. Itu belum cerita lagi status Facebook dan Twitter masing-masing yang amat memalukan.

Sejak PAS dalam pakatan pembangkang, parti itu tidak pernah sunyi dari hiruk-pikuk yang dikaitkan dengan cubaan Datuk Seri Anwar Ibrahim meluaskan pengaruhnya dalam parti yang wujud jauh lebih senior dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.

Sebelum ini dalam isu hudud, PAS berseorangan diserang oleh DAP. PKR juga menyerang, tetapi secara malu alah kerana mereka turut dipimpin oleh pemimpin Melayu Islam, tetapi itu pun dianggap sebagai serangan.

Kini wujud pula sekelompok manusia yang menggelar diri mereka Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA) dipimpin oleh pemimpin PAS yang dikatakan kecewa di Kedah iaitu Datuk Phahrolrazi Zawawi.

PASMA kononnya ditubuhkan untuk mengukuhkan pakatan pembangkang, tetapi ironinya mereka menyerang PAS - mereka juga ahli PAS - tanpa henti sejak ditubuhkan. Serangan peribadi ke atas Abdul Hadi dilancarkan seawal pertubuhan bukan kerajaan (NGO) muncul di khalayak sehinggalah kini.

Mungkin benar PASMA mahu mengukuhkan pakatan pembangkang - iaitu dengan memporak-perandakan PAS, mungkin untuk memudahkan mereka mengambilalih peranan PAS dalam pakatan pembangkang.

Kalau mereka ikhlas mahu menguatkan pakatan pembangkang, sepatutnya PASMA tidak hanya menghentam PAS sebaliknya DAP dan PKR juga bukan maksum yang perlu juga dihentam atas kesilapan mereka. Mudah saja sifirnya, dari situ dapat dibaca arah perginya NGO itu.

Kebobrokan menjelang pemilihan PAS kali ini tidak dapat disangkal lagi. Ada suara-suara cuba mengaitkan situasi sekarang dengan UMNO, kononnya semua itu salah UMNO. Yang bergaduh PAS, yang salah UMNO, inilah mentaliti yang amat menyedihkan.

Ingatlah, sekiranya tidak ada ruang masakan musuh berjaya menyelinap. Siapa yang buka ruang itu, pemimpin PAS kena fikirkan. Golongan ulama pastinya mahu ulama terus menerajui dan menentukan hala tuju parti kerana itulah kriteria utama PAS sebagai jemaah Islam, namun persoalan yang perlu dianalisis bagaimanakah jemaah itu kini melahirkan golongan profesional yang kurang faham apa itu jemaah Islam.

Disiarkan pada: March 7, 2015 @ 5:40am
d