mutakhir

Yakin misteri terjawab Mei depan

Kuala Lumpur: Usaha gigih pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjejak pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 di Lautan Hindi dijangka membuahkan hasil apabila pencarian dasar laut lengkap sepenuhnya Mei depan.

Harapan itu disuarakan Ketua Seksyen Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kuala Lumpur-Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (UniKL-Miat) Prof Madya Kapten Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian yang percaya pesawat itu berada di dasar Lautan Hindi.

“Biarpun pelbagai teori timbul termasuk mengaitkan dengan konspirasi negara lain, namun saya masih percaya data satelit Inmarsat tepat iaitu titik akhir penerbangan di selatan Lautan Hindi.

“Kita perlu yakin dengan analisis sekumpulan pakar yang merungkai teka-teki kehilangan pesawat itu. Saya yakin, kita akan menemuinya Mei ini sebaik pencarian dasar laut lengkap,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini.

Dr Mohd Harridon berkata, pencarian dasar laut sudah memasuki lebih 40 peratus kawasan carian meliputi 22,000 kilometer persegi dan yakin pesawat itu berada di lautan berkenaan.

“Saya yakin dengan keadaan itu bersandarkan kepada data satelit. Amat mustahil untuk kita memalsukan data yang dikeluarkan sesebuah pesawat.

“Kebiasaannya, maklumat yang diperoleh satelit adalah data sah. Oleh itu, saya mengandaikan Mei ini kita akan mengetahui sesuatu apabila pencarian itu dilengkapkan,” katanya.

Sebelum ini, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) di Australia menyatakan pesawat itu akan ditemui dalam tempoh beberapa bulan lagi selepas hilang pada 8 Mac 2014.

Malah, Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia Martin Dolan berharap pasukannya akan menemui bangkai pesawat itu pada penghujung Mei ini.

“Kejadian ini memang membingungkan dan ia tidak pernah berlaku, bukan saja satu misteri tapi juga membabitkan jumlah usaha yang kami curahkan untuk mencari pesawat.

“Ketika kami terus berusaha, kami tidak dapat kepastian cuma ada keyakinan kami akan dapat menemui pesawat yang hilang itu,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2015 @ 5:48am
d