mutakhir

Tak henti doa ayah pulang

Kuala Lumpur: “Saya yakin bapa masih hidup dan akan kembali ke pangkuan kami,” kata Maira Elizabeth Nari, 19, anak perempuan Ketua Pramugara, Andrew Nari yang bertugas di dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lalu.

Menurutnya, meskipun bapanya sudah hilang bersama 238 penumpang dan kru sejak setahun lalu, dia tidak pernah berhenti berdoa agar lelaki itu pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.

“Saya sentiasa berdoa supaya dia pulang ke pangkuan keluarga. Saya berdoa Tuhan beri petunjuk. Kalau dia masih hidup, saya doa dia tabah menghadapi semua ini. Jangan sesekali berputus asa kerana dia ada keluarga yang memerlukan.

“Saya juga berdoa supaya Tuhan memberikan kekuatan kepada ibu saya kerana dia amat sensitif dengan situasi ini, emosinya juga tidak stabil,” kata Maira ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia tidak pernah ketinggalan pergi ke gereja setiap Ahad bagi mendoakan kepulangan ayahnya agar mereka kembali bersama.

“Perkara pertama saya mahukan adalah supaya dia pulang semula. Saya mahu kami menjadi seperti keluarga lain, makan bersama-sama. Saya nak dia pulang, itu saja.

“Hidup diteruskan bagi keluarga kami. Kami menanganinya dengan baik, di sebalik ketidaktentuan ini,” katanya.

Katanya, keluarganya sentiasa menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti agar tidak terlalu memikirkan mengenai tragedi itu.

“Hidup ini ada naik turunnya. Saya memang tidak memikirkan mengenai bapa sebab saya tidak mahu menunjukkan kesedihan saya kepada ibu dan adik lelaki saya (Malcolm),” katanya yang sedang mengikuti pengajian dalam kursus diploma Komunikasi Massa di Kolej Segi di Subang Jaya.

Disiarkan pada: March 7, 2015 @ 5:50am
d