mutakhir

Rugi RM10j himpun di Jalan TAR

Kuala Lumpur: Persatuan Peruncit Batu Road (BARRA) yang mewakili kira-kira 200 peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) meminta penganjur perhimpunan #KitaLawan mengadakan perhimpunan di lokasi lain.

Presiden BARRA Datuk VK Liew berkata, sekiranya perhimpunan itu diteruskan, pihaknya menganggarkan peniaga di Jalan TAR akan kerugian lebih RM10 juta.

“Anggaran ini berdasarkan pengalaman lalu, beberapa perhimpunan yang dianjurkan sebelum ini menyebabkan pendapatan peniaga terjejas teruk, selain turut mengancam keselamatan dan pengunjung.

“Mereka sepatutnya mengadakan di tempat lain yang tidak mengganggu peniaga seperti berhimpun di dalam stadium yang dicadangkan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis, semalam.

Beliau berkata, sekiranya mereka berdegil, BARRA akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur terbabit.

Menurutnya, persatuan mengadakan pertemuan tertutup dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah dan menyatakan masalah serta harapan mereka.

“Kita berharap kerajaan akan mengambil tindakan tegas bagi mengatasi masalah itu yang jelas merosakkan imej negara sehingga menyebabkan aktiviti perniagaan di ibu kota lumpuh,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2015 @ 5:55am
d