mutakhir

Gembira terpilih jadi pemilik awal

Putrajaya: “Saya gembira dan pada masa sama tidak menyangka menjadi antara 20 pemilik awal yang menerima unit kediaman ini,” kata Mohamad Nor Azam Azmanshah.

Mohamad Nor Azam, 29, adalah antara 20 pemilik terawal yang menerima unit kediaman Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Presint 11 Putrajaya apabila ia projek PR1MA pertama yang disiapkan.

Ketika ditemui semalam, Mohamad Nor berkata, dia mula memohon unit berkenaan ketika projek perumahan itu dilancarkan sekitar 2011.

Katanya, dia juga merancang untuk menetap di kediaman itu beberapa bulan lagi selepas selesai melakukan sedikit pengubahsuaian.

Sementara itu, seorang lagi pemilik, Hilary Ho, 35, berkata, dia bersyukur kerana terpilih menerima unit kediaman berkenaan biarpun mengetahui begitu sukar untuk mendapatkan sebuah rumah pada harga mampu milik terutama di Putrajaya.

Ho yang juga kakitangan di Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia berkata, dia menetap dan bertugas di Putrajaya sejak 2006 lagi dan buat masa ini, dia menetap di kuarters kerajaan di Presint 9.

“Saya akui tiada kediaman mampu milik di Putrajaya memandangkan harga unit kediaman di sini dianggarkan sekitar RM200,000 hingga RM300,000 seunit,” katanya.

Seorang lagi pemilik, S Buvana, 32, berkata, impiannya untuk memiliki rumah mustahil dapat dicapai tanpa adanya PR1MA kerana tidak mungkin dapat mencari unit rumah lain pada harga yang mampu bayar.

“Kegembiraan saya berganda kerana menerima kunci daripada Perdana Menteri sendiri. Puas saya cari rumah di sekitar sini, tetapi tiada dalam kemampuan, malah saya hampir putus asa.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana dapat menzahirkan hasrat saya memiliki rumah selepas lebih tiga tahun puas mencari,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir di Suruhanjaya Pendaftaran Pelajar, Kementerian Pendidikan.

Dalam pada itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merayu PR1MA dan Putrajaya Holdings membina lebih banyak rumah mampu milik di Putrajaya khas untuk penjawat awam yang akan bersara.

Menurutnya, buat masa ini, lebih 15,000 penjawat awam masih menunggu untuk mendapatkan kemudahan kuarters.

“Justeru, jika dapat dibangunkan lebih banyak rumah mampu milik, saya percaya tidak wujud masalah kekurangan kuarters sebagaimana dialami buat masa ini.

“Malah, saya difahamkan, Perbadanan Putrajaya (PPj) masih lagi mempunyai enam bidang tanah untuk dibangunkan projek perumahan mampu milik di sekitar pusat pentadbiran kerajaan ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2015 @ 5:07am
d