mutakhir

PR1MA rahmat buat rakyat

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Kerajaan akan terus komited membina lebih banyak rumah mampu milik di seluruh negara menerusi pelancaran beberapa projek perumahan terutama di kawasan bandar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, projek perumahan mampu milik seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) satu rahmat buat rakyat terutama bagi mereka yang bekerja dan menetap di bandar.

Beliau berkata, konsep PR1MA diperkenalkan kerajaan adalah projek perumahan mampu milik paling popular memandangkan ia ditawarkan pada harga 20 peratus lebih murah berbanding projek perumahan lain di pasaran.

“Justeru, kerajaan memperuntukkan sejumlah dana besar bagi membangunkan projek PR1MA di seluruh negara apabila 80,000 unit kediaman PR1MA akan dibina tahun ini membabitkan dana RM1.3 bilion,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan replika kunci PR1MA Presint 11 Putrajaya, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi PR1MA Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Najib berkata, PR1MA bukti janji ditepati kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dalam membela nasib rakyat.

Bagaimanapun, katanya, beliau berharap orang ramai dapat memahami pembinaan rumah seperti itu akan mengambil masa.

Menurutnya, harga kediaman PR1MA lebih rendah daripada harga pasaran yang ditawarkan pada RM120,000 bagi keluasan 815 kaki persegi (75.7 meter persegi) manakala bagi unit berkeluasan 1,000 kaki persegi (92.9 meter persegi) pula ditawarkan pada harga RM150,000.

“Ini bermakna sebaik saja pemilik dapat rumah, mereka mendapat untung. Kalau dalam masa lima tahun akan datang, kadar kenaikan jauh lebih tinggi mengikut kadar pasaran,” katanya.

Katanya, beliau juga difahamkan bilangan memohon untuk kediaman PR1MA tujuh kali ganda daripada jumlah rumah disediakan.

Sementara itu, Najib berkata, beliau juga menyambut baik saranan dibuat Tengku Adnan supaya turut memperbanyakkan rumah mampu milik di kawasan Putrajaya bagi memberi peluang kepada penjawat awam memilikinya.

PR1MA Presint 11 Putrajaya adalah tapak pertama projek PR1MA di negara ini, malah ia yang pertama disiapkan dengan menawarkan 560 unit rumah dengan keluasan antara 815 kaki persegi dan 1,006 kaki persegi di atas tapak seluas 1.9 hektar.

Projek perumahan itu lengkap dengan kemudahan dewan serbaguna, taska, tadika, surau dan tapak perniagaan serta kedai.

Projek PR1MA Presint 11 dijayakan menerusi kerjasama awam swasta antara Putrajaya Holdings (PJH), PR1MA dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

Sementara itu, PR1MA juga membuka permohonan bagi tujuh projek pembangunan di sekitar Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Perak dan Kedah.

Disiarkan pada: March 8, 2015 @ 5:08am
d