mutakhir

'Zaharie tak salah'

Kuala Lumpur: Keluarga juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah (gambar) membidas dakwaan segelintir pihak yang menyalahkan Zaharie sebagai punca kehilangan pesawat itu bersama 239 penumpang, 12 bulan lalu.

Tumpuan kehilangan pesawat itu teralih kepada Zaharie selepas pihak berkuasa merampas simulator itu sehingga beliau dianggap dalang di sebalik kehilangan MH370.

Difahamkan, hasil dapatan daripada maklumat yang tersimpan daripada simulator tidak jelas dan tiada bukti kukuh yang menunjukkan kapten pesawat itu sebagai dalangnya.

Ahli keluarga berkenaan, Sakinab Shah, 53, berkata, tiada siapa boleh menyalahkan Zaharie terhadap kehilangan pesawat itu walaupun mereka terdiri daripada penyiasat kemalangan mahupun pakar penerbangan.

“Ia sesuatu yang sangat menjengkelkan. Tiada siapa, baik ahli politik, saintis, pakar penerbangan, juruterbang, media atau sesiapa saja, tiada siapa yang mempunyai hak untuk menyalahkan dia (Zaharie).

“Hanya semata-mata dedikasinya terhadap profesion ini (juruterbang) mendorong beliau (Zaharie) memasang simulator penerbangan di rumahnya bagi melengkapkan dirinya supaya boleh memberi pengalaman mengajar yang lebih baik kepada anak muridnya,” katanya.

Sakinab turut menegaskan kepada segelintir masyarakat umum supaya berhenti menyalahkan Zaharie berikutan juruterbang itu mempunyai rekod penerbangan yang begitu cemerlang.

Menurutnya, tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa dia (Zaharie) bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat itu selain menambah bahawa masalah keluarga yang dihadapinya adalah cerita mengarut.

“Terdapat juga berita yang mengaitkan perkahwinan Zaharie dan Faizah Khan (isterinya) yang dilanda masalah dan sedang menunggu kes sebutan di Mahkamah Syariah, itu semua cerita mengarut, sampah.

“Sehingga kini, tiada sebarang bukti yang mengaitkan beliau. Jadi, tidak perlu meneruskan fitnah terhadapnya sedangkan Zaharie mempunyai rekod yang baik,” katanya.

Sakinab berkata, Zaharie mempunyai rekod penerbangan selama 18,000 jam lebih tanpa sebarang kecacatan dan beliau sangat berdedikasi sebagai seorang juruterbang.
- The Sydney Morning Herald

Disiarkan pada: March 8, 2015 @ 5:09am
d