mutakhir

Terpengaruh dengan janji manis

Kuala Lumpur: Termakan dengan janji ‘kemanisan jihad’ di samping tawaran ‘syurga’ oleh sesiapa yang menyertai perjuangan militan Negara Islam (IS) dilihat faktor utama rakyat tempatan mudah terpengaruh dengan dakyah songsang kumpulan ekstremis terbabit.

Itu pandangan Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sembilan Dr Shuhadak Mahmud selepas melihat senario yang agak membimbangkan apabila ramai umat Islan di negara ini terpengaruh dengan konsep jihad tajaan IS.

“Dua faktor itu dilihat begitu mudah ‘terjual’ bagi rakyat tempatan, sekali gus berjuang bersama-sama dengan kumpulan ekstremis terbabit berikutan kurangnya pengetahuan berhubung konsep jihad sebenar.

“Individu yang termakan dengan janji terbabit kurang pendedahan terhadap konsep sebenar jihad dan juga syurga bagi mereka yang syahid. Dalam Islam, maksud jihad itu sendiri amat suci jika mengikuti lunas yang sudah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, di sini, semalam.

Baru-baru ini, tiga individu dikenal pasti sebagai Muhamad Wanndy Mohamad Jedi, 25, dari Durian Tunggal, Melaka; Mohd Faris Anuar, 20, dari Gurun, Kedah dan Nor Mahmudah Ahmad, 26, disahkan polis menyertai kumpulan militan IS dan terbabit dengan insiden menyembelih seorang rakyat Syria yang ditawan di kem tahanan Raqqa, Syria.

Ia dibuktikan menerusi satu rakaman video berdurasi 30 saat dimuat naik di laman sosial Facebook milik individu yang menggunakan nama Abu Hamzah Al Fateh pada 22 Februari lalu.

Dr Shuhadak berkata, individu terbabit jelas keliru serta jahil untuk memahami konsep jihad mengikut Islam dan mudah terpengaruh dengan dakyah jihad songsang tajaan kumpulan ekstremis.

Disiarkan pada: March 8, 2015 @ 5:11am
d