mutakhir

Terengganu sedia bantu Kelantan

Marang: Terengganu bersedia membantu kerajaan Kelantan mendapatkan bekalan air mentah selepas beberapa sungai yang menjadi sumber utama bekalan air di negeri itu kering berikutan kemarau sejak Januari lalu.

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman (gambar) berkata, walaupun kerajaan negeri bersetuju memenuhi permintaan kerajaan Kelantan untuk mendapatkan bekalan air mentah, namun rakyat Terengganu tidak perlu risau kerana keperluan mereka tetap menjadi keutamaan.

Beliau berkata, bekalan air mentah yang akan disalurkan ke beberapa daerah di negeri itu terutamanya membabitkan Pasir Putih akan diperoleh dari empangan Paya Peda di Hulu Besut.

“Kerajaan negeri ada menerima permohonan daripada kerajaan Kelantan dan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) sedang menyiapkan surat perjanjian untuk ditandatangani antara kedua-dua pihak.

“Jumlah bayaran yang akan dikenakan kepada kerajaan Kelantan masih dalam perundingan, tetapi kita pada dasarnya bersetuju untuk membantu rakyat negeri itu yang kini berdepan dengan masalah bekalan air bersih,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran Skuad Sayang Bangkit 14 Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Marang di Dewan Sivik Binjai Rendah, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Marang A Latiff Awang dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Marang Toh Puan Zaitun Mat Amin.

Ahmad Razif berkata, bekalan air mentah yang bakal dibekalkan diambil daripada empangan Paya Peda, Hulu Besut dan disalurkan di loji milik SATU yang terletak di sempadan Besut dan Pasir Putih.

Beliau berkata, majlis menandatangani memoradum persefahaman penjualan air mentah kepada kerajaan Kelantan akan dilakukan selepas rundingan termasuk penetapan harga dipersetujui kedua-dua pihak.

Disiarkan pada: March 8, 2015 @ 5:11am
d