mutakhir

26 ahli geng langgar belakang punah

Kuala Lumpur: Seramai 26 ahli geng langgar belakang dan samun yang aktif melakukan jenayah di sekitar ibu kota sejak tahun lalu akhirnya tumpas selepas ditahan polis kelmarin.

Malah, bengkel haram di Taiping yang digunakan sindiket itu untuk meleraikan kereta yang berjaya disamun mereka turut dibongkarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar turut mengucapkan tahniah melalui laman Twitternya atas kejayaan polis menumpaskan sindiket itu.

“Syabas Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dan JSJ Bukit Aman berjaya tangkap 26 ahli geng langgar belakang dan samun. Bengkel haram mereka di Taiping juga dibongkarkan,” katanya.

Sebelum ini Harian Metro pernah melaporkan Polis Kontinjen Kuala Lumpur menubuhkan satu pasukan khas bagi memburu empat penjenayah Geng Langgar dan Rompak yang dikesan aktif melakukan jenayah sekitar ibu kota.

Kumpulan terbabit turut menggunakan senjata tajam dilapor aktif menyamun mangsa terutama di daerah Sentul, Brickfields dan Cheras di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pasukan khas itu ditubuhkan bagi mengenal pasti identiti suspek selain turut memburu dan menjejaki penjenayah.

Menurutnya, modus operandi kumpulan terbabit adalah dengan melanggar belakang kenderaan mangsa terlebih dulu.

“Suspek menjadikan kenderaan model Toyota Hilux, Toyota Hiace, Toyota Camry, Honda CRV dan Honda Civic selain kenderaan mewah lain sebagai sasaran utama,” katanya yang mengesyaki kumpulan itu membabitkan antara dua hingga empat individu.

Beliau berkata, sebanyak 11 kes membabitkan kejadian langgar dan rompak dilaporkan berlaku di kontinjen Kuala Lumpur sejak awal Januari lalu.

“Ini menunjukkan peningkatan ketara berikutan hanya 33 kes dilaporkan berlaku sejak Jun hingga Disember 2014,” katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2015 @ 5:16am
d