mutakhir

Serangan terancang pembangkang memang disengaja

Kuala Lumpur: Tohmahan dan tuduhan melulu ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu dihentikan kerana kerajaan bersetuju akaun syarikat berkenaan diaudit Ketua Audit Negara.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menganggap ‘serangan’ tanpa henti pembangkang ke atas syarikat pelaburan kerajaan itu semata-mata bermotifkan politik.

Beliau berkata, tindakan pembangkang itu menyebabkan rakyat termakan sedikit sebanyak hasutan mereka.

“Serangan terancang menerusi penyebaran tuduhan liar dan spekulasi oleh pembangkang memang disengajakan untuk menjejaskan reputasi syarikat itu.

“Jadi, perkara itu kini dalam siasatan dan Kabinet sudah bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri mengenai peranan Ketua Audit Negara dalam hal ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Karnival Sukan Pemuda UMNO di Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur di sini, semalam.

Rabu lalu Perdana Menteri mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, laporan Ketua Audit Negara akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) yang bersifat bipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.

Sebelum itu Najib memanggil 1MDB dan juruaudit mereka, Deloitte bagi menjelaskan kepada Kabinet berikutan laporan media baru-baru ini berkaitan syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu.

Ia berkata 1MDB sudah memberi taklimat mengenai situasi semasanya dan menjawab siri pertanyaan dikemukakan oleh menteri-menteri kabinet, termasuk perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Deloitte memberi keterangan menyeluruh tentang urusan mereka dengan 1MDB dan mengesahkan bahawa firma itu telah mengaudit dan mengesahkan akaun syarikat itu.

Disiarkan pada: March 9, 2015 @ 7:46am
d