mutakhir

SPRM tunggu audit lengkap

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menunggu audit lengkap akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum mengambil tindakan lanjut berhubung dakwaan berlaku kecuaian atau penyelewengan dalam urus niaga agensi itu.

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Abu Kassim Muhammad berkata, kertas siasatan akan dibuka jika audit terhadap akaun 1MDB mendapati ada unsur meragukan.

“Semua pihak perlu menyerahkan kepada Ketua Audit Negara untuk meneliti akaun 1MDB terlebih dulu sebelum SPRM mengambil tindakan jika keadaan memerlukan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) juga pernah mengeluarkan kenyataan yang menyatakan 1MDB akan diaudit, diperiksa dan kemudian diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC),” katanya.

Beliau ditemui selepas menyaksikan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP), semalam.

Pada 4 Mac lalu Najib mengarahkan Ketua Audit Negara mengesahkan secara bebas akaun 1MDB.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, laporan Ketua Audit Negara akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) yang bersifat bipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.

Disiarkan pada: March 10, 2015 @ 8:33am
d