mutakhir

Petani Cameron Higlands guna racun perosak haram

Serdang: Sebanyak 39 jenis racun perosak sudah diharamkan penggunaannya oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani termasuk sebatian racun perosak yang ditemui di dalam sampel air di Cameron Highlands baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata, pengharaman itu dilakukan sejak 1993 hingga tahun lalu.

Menurutnya, di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974, semua jenis racun perosak sama ada yang diimport atau dikilang untuk kegunaan tempatan perlu didaftarkan di Lembaga Racun Makhluk Perosak jabatan berkenaan.

“Hanya racun perosak yang berkualiti, berkesan dan tiada kesan buruk terhadap manusia saja yang akan diluluskan penggunaannya.

“Ketika ini, ada 371 racun perosak membabitkan 3,318 jenama sudah didaftarkan dengan kami untuk pelbagai kegunaan,” katanya, semalam.

Beliau mengulas berkaitan kehadiran sebatian racun perosak yang ditemui di dalam sampel air di sekitar Cameron Highlands hasil kajian dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pesticides Action Network (PAN) baru-baru ini.

Menurut Ahmad Zakaria, berkaitan penemuan sebatian racun perosak terbabit, ia bukan di luar jangkaan kerana analisis sampel alam sekitar termasuk air yang dijalankan pelbagai pihak sebelum ini turut membuahkan hasil sama.

“Perlu diingat bahawa sebatian racun perosak yang ditemui pada sampel terbabit adalah racun perosak daripada kumpulan ‘Organoklorin’ yang sudah lama diharamkan penggunaannya di Malaysia.

“Racun perosak daripada kumpulan itu memang bersifat kekal lama di dalam alam sekitar dan ia merupakan kesan penggunaan lampau,” katanya.

Racun perosak lain dalam kumpulan Organoklorin yang diharamkan Lembaga Racun Makhluk Perosak ialah ‘Dieldrin’ pada 1989, ‘Heptachlor’ (1994), ‘Chlordane’ (1996), dan ‘Lindane’ pada 2001.

Menurut Ahmad Zakaria, paras sebatian yang ditemui itu juga amat rendah dan ia tidak mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan manusia.

“Kami juga menjalankan penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan tiada aktiviti pengimportan serta penggunaan racun perosak haram membabitkan pemeriksaan di premis perniagaan selain lawatan ke ladang.

“Sepanjang operasi berkenaan, kami tidak menemui penggunaan atau penjualan racun perosak dalam kumpulan Organoklorin,” katanya.

Menurut Ahmad Zakaria, sepanjang 2014, pihaknya melakukan 431 serbuan di seluruh negara termasuk di Cameron Highlands.

Disiarkan pada: March 11, 2015 @ 7:55am
d