mutakhir

GST biaya BR1M

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) yang dibayar secara berperingkat sebanyak tiga kali akan dibiayai menerusi pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) seperti yang saya nyatakan dalam Bajet 2015,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, bantuan berkenaan bermanfaat kepada rakyat yang memerlukan di samping meringankan kos sara hidup.

Beliau berkata, sebanyak 7.2 juta permohonan BR1M sudah diluluskan setakat ini.

“Sekiranya anda adalah sebahagian kecil daripada mereka yang permohonan untuk BR1M sudah ditolak, anda kini boleh kemukakan rayuan bermula 1 hingga 31 Mac 2015.

“Dapatkan maklumat lanjut serta muat turun borang permohonan di laman ebrim.hasil.gov.my,” kata beliau dalam laman sosial Facebook peribadinya semalam.

Seramai 1.4 juta pemohon gagal dan mereka boleh merayu di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau layari laman web tersebut.

Dalam belanjawan yang dibentangkan Oktober lalu, kerajaan menaikkan kadar BR1M kepada RM950 daripada RM650 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah yang dibayar secara tiga kali ansuran iaitu pada Januari, Mei dan September. Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 pula, kerajaan meningkatkan kadar bantuan tersebut daripada RM450 kepada RM750 manakala bagi kategori individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan, kadar itu dinaikkan daripada RM300 kepada RM350.

Disiarkan pada: March 11, 2015 @ 8:11am
d