mutakhir

Audit 1MDB sudah bermula

Putrajaya: Jabatan Audit Negara sudah memulakan proses pengauditan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebagaimana diarahkan oleh Perdana Menteri pada 4 Mac lalu.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata, pihaknya akan melakukan apa sahaja dirasakan perlu bagi melengkapkan proses pengauditan terhadap syarikat dana pelaburan strategik milik kerajaan 1MDB.

“Sekiranya perlu, kita akan memanggil sesiapa sahaja bagi membantu melengkap serta menyiapkan laporan pengauditan dengan secepat mungkin.

“Proses pengauditan sudah pun bermula. Malah, saya juga sudah bertemu Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda dan beliau turut memaklumkan kesudian untuk memberi kerjasama penuh terhadap laporan berkenaan.

“Proses ini akan dilakukan secara bebas dan profesional, namun setakat ini saya tidak boleh memaklumkan secara terperinci bila proses pengauditan ini akan berakhir dan bila laporan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan dikemukakan,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Katanya, segala usaha akan diambil untuk mengaudit dan mengemukakan laporan berkenaan secepat yang mungkin.

Ditanya sama ada pengauditan hanya akan dilakukan terhadap akaun 1MDB beliau berkata, pihaknya mendapat mandat yang luas dan perlu mengkaji dari segi aset, liabiliti dan ekuiti syarikat.

Disiarkan pada: March 11, 2015 @ 8:13am
d