mutakhir

Umur bersara 62 tidak relevan

Kuala Lumpur: Dua Ahli Parlimen, semalam berpendapat cadangan menaikkan umur persaraan penjawat awam daripada 60 ke 62 tahun tidak relevan kerana melambatkan proses kenaikan pangkat bagi kakitangan lain.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berpendapat cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) itu menutup peluang kepada golongan lebih muda yang mempunyai kebolehan.

“Saya tidak terima cadangan itu, tetapi jika Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hendak buat kajian, tiada masalah.

“Kalau dilaksanakan, tertutuplah peluang orang lain khususnya orang muda,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Dewan Rakyat semalam.

Baru-baru ini, CUEPACS mencadangkan kerajaan supaya mempertimbangkan umur persaraan penjawat awam daripada 60 kepada 62 tahun memandangkan Malaysia menuju ke arah negara maju.

Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) juga menolak cadangan CUEPACS itu kerana ia menafikan peluang kakitangan muda untuk dinaikkan pangkat.

Beliau berkata CUEPACS sepatutnya memperjuangkan isu lain seperti peluang memiliki rumah sendiri, masalah hutang dan bankrupsi dalam kalangan penjawat awam.

“Ini lebih penting untuk CUEPACS perjuangkan...golongan muda ada idea baharu dan mereka perlu bersama dengan kepemimpinan negara untuk mencorak masa depan. Saya tidak setuju cadangan (menaikkan umur persaraan itu),” katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2015 @ 9:35am
d