mutakhir

Kaset dilarang

Kangar: Umat Islam dinasihatkan agar tidak memainkan kaset bacaan ayat suci al-Quran di dalam masjid atau surau seperti sebelum waktu solat.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin berkata, ini kerana Nabi Muhammad SAW sendiri melarang jemaah yang berada di dalam masjid membaca al-Quran dengan suara nyaring, inikan pula jika menggunakan kaset yang bunyinya boleh kedengaran hingga ke luar masjid atau surau.

Beliau menyatakan demikian pada sesi soal jawab program Semarak Dakwah Ehya’ Masjid di Masjid Behor Empiang, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, Nabi Muhammad melarang membaca al-Quran dengan suara nyaring dalam masjid kerana ia boleh mengganggu tumpuan jemaah lain yang datang ke masjid untuk beribadah.

“Jika memasang kaset bacaan al-Quran sebelum masuk waktu solat seperti solat Subuh, tentu akan mengganggu orang lain di persekitaran masjid atau surau yang mungkin sedang tidur dan ini dilarang Islam,” ujarnya.

Kepada soalan lain, Asri berkata, umat Islam tidak dilarang untuk berqasidah kerana ia merupakan syair, namun liriknya mestilah tidak menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Mengenai penggunaan alat-alat muzik, beliau berkata, terdapat khilaf (perbezaan pendapat) dalam perkara tersebut kerana terdapat ulama yang membolehkan dan ada yang tidak membenarkannya.

Namun, bagi beliau secara peribadi, ia boleh digunakan jika tidak membawa kepada keruntuhan akhlak.- Bernama

Disiarkan pada: March 14, 2015 @ 5:31am
d