mutakhir

Lelong buaya RM2,000

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Rizal Abdullah

Kuala Lumpur: Penggunaan laman sosial Facebook (FB) sebagai ‘pasar lelongan’ untuk menjual haiwan liar dilindungi bukan sekadar membabitkan haiwan kecil dan jinak tapi turut dijual ialah buaya tembaga serta anak beruang matahari.

Ia terbukti apabila Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menahan seorang lelaki berusia awal 20-an di Nilai, Negeri Sembilan selepas dikesan menjual anak buaya tembaga pada harga RM2,000 seekor.

Pengarah Bahagian Penguat kuasa PERHILITAN Abdul Kadir Abu Hashim berkata, suspek lelaki dari Bentong, Pahang pula ditahan kerana menjual anak beruang Matahari melalui FB pada harga RM5,000.

Beliau berkata, dua lelaki itu adalah antara empat yang ditahan hasil Operasi Taring yang diadakan sejak Isnin lalu.

Menurutnya pasukan khas membabitkan penguat kuasa ibu pejabat dan PERHILITAN Selangor juga berjaya menahan dua lagi individu yang menjalankan kegiatan menjual haiwan liar.

“Hasil serbuan pertama di Ampang, Selangor, Isnin lalu, kami merampas tiga ekor helang dan menahan dua individu yang cuba menjual burung helang dilindungi itu pada harga RM1,000 seekor,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: March 14, 2015 @ 6:08am
d