mutakhir

IKS Bumiputera tak peka

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama dengan agensi pembimbing usahawan Bumiputera untuk mendidik golongan itu supaya memohon sijil halal dari jabatan berkenaan.

Pengarah Hab Halal JAKIM Hakimah Mohd Yusof berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan lebih banyak syarikat Bumiputera mempunyai sijil halal memandangkan ketika ini hanya 34 peratus usahawan Bumiputera memohon dan mendapatkan sijil halal.

“Jumlah ini agak rendah berbanding syarikat milik bukan Bumiputera, jadi tahun ini kita cuba untuk meningkatkan sehingga lebih 40 peratus, dengan mendapat kerjasama daripada agensi pembimbing mereka seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta agensi berkaitan yang lain,” katanya.

Hakimah berkata, JAKIM bersedia membantu untuk memberi penjelasan mengenai kepentingan sijil halal dalam memasarkan produk masing-masing.

Katanya, bagi meningkatkan kemudahan pengurusan pensijilan halal, orang ramai boleh menyemak status permohonan serta semakan pemegang sijil halal melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

“Bagi menyemak permohonan pengusaha boleh menaip HALALSTATUS diikuti nombor permohonan dan dihantar ke 15888, manakala semakan pemegang sijil halal boleh dibuat dengan menaip HALALSEMAK nombor pendaftaran syarikat dan hantar ke nombor sama,” katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2015 @ 5:08am
d