mutakhir

Penyelesaian biar 'menang-menang'

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Lumut: Rundingan mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap caj profesional yang akan dikenakan di hospital swasta masih dijalankan Kementerian Kesihatan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung isu berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pihaknya berharap keputusan ‘menang-menang’ akan berjaya dicapai kelak antara kerajaan dengan pengamal perubatan swasta berhubung GST.

“JKDM yang akan membuat keputusan muktamad berhubung isu ini dan perbincangan sudah dilakukan sejak beberapa bulan lalu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Seminar Kepemimpinan Strategik Wanita Masyarakat India dan Kerajaan di Teluk Batik, di sini, semalam.

Dr Subramaniam mengulas mengenai laporan akhbar baru-baru ini, yang mengatakan beberapa pengamal perubatan swasta sedang mendapatkan nasihat undang-undang berhubung cadangan pelaksanaan GST terhadap perkhidmatan mereka yang didakwa tidak adil walaupun kos berkenaan kebiasaannya akan ditanggung oleh pesakit.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr H Krishna Kumar dipetik sebagai berkata, pihaknya mengetahui dan sedar mengenai tindakan beberapa ahli persatuan itu yang sedang mendapatkan nasihat daripada peguam masing-masing berhubung isu berkenaan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: March 16, 2015 @ 5:33am
d