mutakhir

Nikmat 36 pengantin

OlehAnis Nabilla Md Wazilah

Balik Pulau: “Kami mengambil kesempatan untuk disatukan dalam majlis ini kerana ia menjimatkan belanja, tambahan pula suami masih lagi belajar,” kata Noor Masitah Morat, 21, yang diraikan bersama 17 pasangan pengantin lain dalam Majlis Walimatulurus Perdana 2015 di sini, semalam.

Noor Masitah berkata, dia dan suaminya, Muhamad Aiman Akbar, 21, mula berkenalan sejak tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St George Balik Pulau turut tidak menjangkakan mereka adalah pasangan termuda yang diraikan dalam majlis julung kali diadakan di negeri ini.

“Sebenarnya kami memang tidak terlintas untuk mendirikan rumah tangga dalam usia semuda ini tambahan suami masih lagi belajar di sebuah kolej di Pahang.

“Tetapi atas nasihat dan restu keluarga, kami mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dan segala persiapan dilakukan dalam masa amat singkat,” katanya.

Turut diraikan dalam majlis sama adalah wartawan akhbar Berita Harian, Norhidayah Che Din, 28, dan pasangannya Mohd Hafiz Azizan, 29.

Hidayah berkata, beliau dan pasangannya sememangnya berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan pada tarikh berkenaan dan kebetulan majlis berkenaan turut berlangsung pada hari yang sama.

“Semuanya secara kebetulan dan perasaan saya bercampur baur gembira serta gementar apabila diraikan dalam majlis yang meriah serta istimewa begini.

“Majlis ini turut memudahkan urusan perkahwinan pasangan pengantin kerana ia dapat menjimatkan belanja,” katanya yang berasal dari Kampung Terang, Balik Pulau.

Lebih menarik apabila semua 18 pasangan raja sehari itu diarak dengan menaiki bas pelancongan Hop On Hop Off dari Masjid Daerah Balik Pulau ke Kompleks Sukan MPPP, untuk majlis makan beradab.

Sebaik tiba, pasangan raja sehari itu disambut dengan tiupan serunai, pukulan gendang dan persembahan silat untuk menyerikan lagi majlis berkenaan.

Terdahulu, semua pasangan pengantin berkenaan dinikahkan oleh tiga jurunikah dalam majlis berlangsung di Masjid Daerah Balik Pulau pada jam 10 pagi kelmarin.

Majlis anjuran Pusat Khidmat Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Betong itu turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 8,000 tetamu membabitkan ahli keluarga dan rakan pasangan pengantin berkenaan.

Pengarah program, Mohd Tuah Ismail berkata, majlis yang julung kali diadakan itu hanya membabitkan kos perbelanjaan kira-kira RM100,000 saja.

Beliau berkata, setiap pasangan hanya perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM1,000 sebagai bayaran penyertaan serta dibenarkan menjemput seramai 300 tetamu daripada keluarga masing-masing.

“Program ini bertujuan bagi membantu mengurangkan kos perbelanjaan perkahwinan yang kini boleh mencecah sehingga RM20,000 bagi satu majlis,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Datuk Mohd Salleh Man.

Disiarkan pada: March 16, 2015 @ 5:47am
d