mutakhir

6 penilai kaji Kampung Baru

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) sedang menjalankan kajian menyeluruh mengenai nilai hartanah di Kampung Baru bersama konsortium yang terdiri daripada enam penilai hartanah sebelum kawasan berkenaan dibangunkan sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif PKB Naharuddin Abdullah berkata, kajian itu dijangka siap menjelang Mei atau April ini.

Beliau berkata kerjasama PKB bersama enam penilai hartanah itu bertujuan menyelesaikan pertikaian isu nilai hartanah yang dibangkitkan oleh pemilik tanah di Kampung Baru.

“Kami tubuhkan konsortium penilai untuk menjalankan kajian nilai hartanah di Kampung Baru untuk membantu pemilik tanah mengetahui nilai hartanah terkini di kawasan ini,” katanya.

Di bawah Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru, pembangunan di situ memberi tumpuan ke atas dua aspek penting iaitu perancangan fizikal dan pengurusan pembangunan kawasan berkeluasan 121.9 hektar.

Pembangunan Kampung Baru yang membabitkan nilai pembangunan kasar sebanyak RM62.1 bilion bermula tahun ini dan dijangka siap menjelang 2035.

Fasa pertama pembangunan semula Kampung Baru yang membabitkan 16 projek mega bernilai RM1 bilion menerusi empat fasa telah dimulakan dan kini berada di pelbagai peringkat pembangunan.

Naharuddin berkata, majoriti pemilik tanah di Kampung Baru menyatakan persetujuan mereka membangunkan kawasan itu.

“Kita akan mengambil kira perubahan yang bakal berlaku sepanjang tempoh pelaksanaan itu dan pada masa sama, pembabitan dengan tuan tanah diteruskan,” kata Naharuddin.

Kampung Baru dengan keluasan keseluruhan 124.37 hektar dibangunkan sejak 113 tahun lalu.– Bernama

Disiarkan pada: March 17, 2015 @ 5:25am
d