mutakhir

Guru mengaji tiba-tiba 'bisu'

Pasir Gudang: “Isteri sudah lebih 30 tahun mengajar mengaji tanpa harapkan sebarang upah daripada anak-anak jiran, tetapi malangnya tiba-tiba suaranya hilang (bisu) sejak November lalu selepas diserang angin ahmar dan tidak dapat lagi mengajar mengaji.

“Kini dia hanya mampu membaca al-Quran dalam hati selain pergerakannya juga lambat,” kata seorang warga emas, Jali Hussin, 68, di Kampung Pasir Putih, di sini, semalam.

Jali berkata, dia dan isterinya, Siti Hasnah Abdul Ghani, 69, reda dengan ujian Allah itu dan tabah menghadapinya.

Menurutnya, walaupun tidak dikurniakan anak sejak berkahwin kira-kira 40 tahun lalu, kasih sayang kedua-dua mereka semakin erat terutama masing-masing mengalami masalah kesihatan dan perlu memberi perhatian antara sama sama lain.

Katanya, sejak tiga tahun lalu, dia menghidapi tibi dan terlantar hampir setahun dan ketika itu, Siti Hasnah sanggup keluar bekerja sebagai tukang cuci dan menjaganya selepas pulang bekerja.

“Pada masa sama, dia juga mengajar mengaji. Kini menjadi giliran saya untuk menjaganya dan terpaksa mengutip barangan lusuh di sekitar kawasan kampung dan perumahan berhampiran bagi menyara perbelanjaan harian kami berdua.

“Pendapatan harian saya kira-kira RM5 dan ia hanya diperoleh apabila berjaya mengumpul kira-kira 50 tin minuman kosong,” katanya.

Jali berkata, bagi menjimatkan kos, dia dan isterinya hanya memakan bubur nasi bersama lauk sayuran selain mereka juga dibantu adik iparnya, Asidah Abd Ghani, 52, yang tinggal di Semenchu, Kota Tinggi untuk membawa Siti Hasnah ke klinik setiap bulan.

“Bil elektrik kami pula dibayar jiran, manakala bagi kos pembelian lampin pakai buang untuk isteri, saya gunakan sejumlah wang simpanan keluarga yang kini hanya tinggal kurang RM2,000.

“Kesempitan wang juga menyebabkan kami reda untuk meneruskan kehidupan di rumah usang ini yang hanya tunggu masa untuk menyembah bumi,” katanya yang tinggal di kawasan rezab sungai.

Semalam, kehidupan serba kekurangan Jali dan pasangannya menerima perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menawarkan bantuan warga emas RM300 selain barangan keperluan serta baucer bernilai keseluruhan RM1,000 daripada pasar raya Econsave Taman Scientex.

Hadir menyampaikan bantuan, Pegawai JKM Johor Bahru Manayi Ibrahim dan Pengurus Operasi Pasar raya Econsave Mas Imran Adam.

Disiarkan pada: March 17, 2015 @ 5:49am
d