mutakhir

'Bukan bayar hutang'

Kuala Lumpur: Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan menafikan hasil diperoleh daripada pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 April ini akan digunakan untuk membayar hutang kerajaan.

Sebaliknya kata beliau hasil kutipan cukai itu akan dipulangkan kepada rakyat demi kebaikan mereka.

“Hasil GST akan dimasukkan ke dalam akaun kumpulan wang yang disatukan di mana GST daripada rakyat dipulangkan kepada rakyat untuk kebaikan rakyat”, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Ahmad mengulas hujah Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada persidangan Dewan Rakyat semalam yang mempersoalkan tujuan cukai itu diperkenalkan kerajaan ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Anggota Parlimen veteran itu turut mengulangi gesaan supaya pelaksanaan GST ditangguhkan bagi meringankan beban kewangan rakyat.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika diminta mengulas saranan Tengku Razaleigh supaya semua anggota Kabinet, anggota Parlimen dan pegawai sektor awam dan swasta yang mempunyai kuasa membuat keputusan mengisytiharkan harta dan liabiliti masing-masing.

“Kami (anggota Parlimen Barisan Nasional) sudah mengisytiharkan harta ... itu memang amalan kami dan kami isytihar awal-awal dahulu kepada Perdana Menteri.”

Tengku Razaleigh menggesa mereka membuat pengisytiharan harta dan liabiliti secara berkala dan disimpan oleh sebuah badan Bebas di Parlimen dan menurutnya ia sebagai langkah menangani isu berkaitan percanggahan kepentingan.– BERNAMA

Disiarkan pada: March 18, 2015 @ 4:55am
d