mutakhir

Mesej elak konflik

Langkawi : Resolusi Program Belia ASEAN di LIMA ‘15, semalam akan dijadikan input untuk dibentangkan pada Sidang Kemuncak Belia ASEAN, November depan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, resolusi itu membawa mesej daripada generasi muda terhadap kepentingan memelihara keamanan sejagat.

“Objektif kita mahukan rantau ini sentiasa aman, tiada konflik dan bebas daripada sebarang unsur ekstremisme agama.

“Suara generasi muda perlu didengar kerana ia dapat mengelakkan mereka daripada menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS),” katanya pada sidang media selepas melawat pusat media LIMA ‘15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), semalam.

Khairy berkata, program berkenaan berjaya mengumpulkan lebih daripada 300 peserta seluruh rantau ASEAN.

Beliau berkata, penyertaan itu membabitkan golongan belia profesional, usahawan muda serta universiti awam dalam bidang maritim dan aeroangkasa.

Disiarkan pada: March 18, 2015 @ 5:46am
d