mutakhir

BN sokong kerana Allah

Kota Bharu: “Kami sudah buat keputusan bahawa menyokong hudud kerana Allah SWT, bukan faktor politik. Ini tiada kena mengena langsung dengan politik,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan pindaan Kanun Jenayah Syariah II (1993) dalam Sidang DUN di Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Menurutnya, mewakili ADUN Barisan Nasional (BN) di Kelantan, mereka sudah sepakat dan bersetuju menyokong kerajaan negeri melaksana undang-undang itu atau hukum hudud serta membantu apa yang termampu.

Namun, beliau tetap melahirkan kebimbangan sekiranya rang undang-undang itu yang akan dibentangkan ke Dewan Rakyat tidak mendapat sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.

“Kita akan hadapi masalah besar. Mereka (yang tidak menyokong hudud) akan berpakat dan cabarannya tentu besar. Soal pelaksanaan dan perincian undang-undang, kita (BN Kelantan) boleh bantu.

“Namun, kita tetap memerlukan ‘nombor’ yang merujuk kepada sokongan politik Ahli Parlimen dalam meluluskan rang undang-undang ini di Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Datuk Hassan Mahmood (PAS-Tawang) pula berterima kasih kepada sokongan dan pendirian ditunjukkan wakil pembangkang dalam berkait pindaan Kanun Jenayah Syariah.

Ketika ditemui di lobi dewan, beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan berharap pemimpin dan umat Islam negeri menyokong pelaksanaan undang-undang itu, sekali gus difahami semua.

Disiarkan pada: March 19, 2015 @ 5:25am
d