mutakhir

Banting sepanjang jalan

Oleh Redzuan Muharam

Senai: Laluan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini, ceria dengan pemasangan banting di sepanjang jalan untuk sambutan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar pada pada 23 Mac ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati banting itu digantung di pembahagi jalan yang kerja pemasangannya dilakukan oleh kakitangan Majlis Perbandaran Kulaijaya (MPKu).

Menurut jurucakap Unit Perhubungan Awam MPKu, pelbagai persiapan dilakukan bagi memeriahkan istiadat penuh bersejarah itu.

Katanya, persiapan itu merangkumi kerja penyelenggaraan kemudahan dan pengindahan lanskap khasnya di laluan ketibaan jemputan kenamaan dan pemasangan 150 banting di sepanjang laluan berhampiran lapangan terbang.

“Kerja penyelenggaraan dijalankan di dua jejantas di Senai dan Taman Impian Senai manakala bulatan berhampiran laluan masuk ke lapangan terbang pula akan diserikan dengan mercu tanda iaitu air pancut berlampu.

“Di samping itu, kakitangan MPKu turut melakukan kerja mengindahkan lanskap di laluan utama ketibaan lapangan terbang bagi menyambut keberangkatan pembesar diraja dan dif kehormat dari dalam serta luar negara,” katanya.

Menurutnya, kotak dekorasi berlampu yang bertulis perkataan Daulat Tuanku turut ditempatkan di 15 lokasi tumpuan sekitar Kulaijaya.

Katanya, kewujudan kotak dekorasi itu pastinya menjadi tumpuan penduduk dan orang awam pada waktu malam.

“Kita sudah menubuhkan lima pasukan khas bagi memantau kebersihan terutama di lokasi yang sudah diselenggara serta laluan tumpuan sempena kemahkotaan itu.

“Harapan kita agar usaha itu mengekalkan kebersihan di sekitar Kulaijaya sebelum dan selepas istiadat berlangsung.

“Di samping itu, beberapa kakitangan MPKu turut terbabit dengan kerja penyelenggaraan di Johor Bahru, manakala 150 lagi akan hadir memeriahkan istiadat pada 23 Mac nanti,” katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2015 @ 5:27am
d