mutakhir

Staf di Kunming beri bantuan

Putrajaya: Pihak berkuasa tempatan sedang menjalankan siasatan terhadap insiden lima rakyat Malaysia maut selepas dipercayai terhidu gas bocor yang berpunca daripada sistem pemanas air di sebuah pangsapuri di Nanning, China.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, pegawai dari Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming juga sedang berusaha untuk memberi bantuan yang sewajarnya.

“Kementerian ingin menyampaikan ucapan takziah dan melahirkan rasa simpati terhadap ahli keluarga mangsa yang terbabit,” katanya.

Semalam media melaporkan 5 rakyat Malaysia maut manakala seorang lagi cedera selepas dipercayai terhidu gas bocor di kawasan perumahan Shengtianhuafu, Daerah Qingxiu, Bandar Nanning Isnin lalu.

Mereka yang meninggal dunia adalah Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Johor Bahru Chin Yoke Meng, 61, Seah Foo Heng, 48, Tay Chong Chai, 42, Ng Wei Shan, 28, dan Tan Bian Chiang, 41, manakala isteri Seah, Lim Kim Lian, 46, pula sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Nanning, China.

Menurut kenyataan itu, semua mangsa memasuki China bagi urusan perniagaan melalui Guangzhou pada Ahad lalu sebelum meneruskan perjalanan ke Nanning pada hari sama.

Disiarkan pada: March 19, 2015 @ 5:30am
d