mutakhir

Bapa mengaku miliki air ketum

Kuantan: Seorang bapa kepada tiga anak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, terhadap tuduhan memiliki 20 liter air ketum di sebuah rumah kampung di Jaya Gading dekat sini, bulan lalu.

Tertuduh, Abdullah Sidek Hussin, 45, dari Kampung Seri Damai, Jaya Gading membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Aisah Mohamad.

Bagaimanapun, Nor Aisah Mohamad menetapkan 23 April depan sebagai tarikh jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki 20 liter air ketum yang disenaraikan dalam jadual pertama dan jadual ketiga (bahan psikotropik) mengikut Akta Racun 1952.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Seri Damai, Jaya Gading, jam 3.05 petang, 12 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 30(3), Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan mengambil kira latar belakangnya tidak mempunyai pendapatan tetap.

Nor Aisah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM2,500.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar.

Disiarkan pada: March 20, 2015 @ 5:18am
d