mutakhir

Ciri pelajar samseng

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Trend melukis tatu sementara pada tubuh badan yang menjadi kegilaan remaja sekolah pada masa ini, melambangkan gejala kurang sihat yang akan merosakkan diri mereka sekiranya tidak dibendung dari awal lagi.

Pemilik syarikat konsultan pembangunan minda Quin Consult Zainuddin Zainal berkata, perbuatan itu sendiri jelas melambangkan sikap atau ciri seorang samseng.

“Mula-mula memang tatu sementara, nanti lama-lama buat tatu kekal pula. Walaupun hanya tatu sementara, perbuatan ini tetap menunjukkan sikap tidak elok dan boleh menjadi parah seperti gejala gangsterisme sekiranya dibiarkan.

“Nasihat saya, kita sebagai ibu bapa bukan saja kena tegas dalam hal ini, tetapi perlu disiplinkan anak bermula dari rumah lagi dengan menjelaskan kesan daripada perbuatan memiliki tatu ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau yang juga bapa kepada tiga anak mengulas pendedahan muka depan Harian Metro semalam berkaitan kegilaan remaja sekolah berlumba-lumba menjadikan tatu sebagai lambang kemegahan.

Trend songsang memiliki tatu sementara seperti artis barat menjadi ikutan segelintir remaja terutama pelajar sekolah hingga ada di antara mereka sanggup berhabis wang saku untuk mencacah badan dengan pelbagai lambang bermotifkan pari-pari, naga dan bunga.

Melahirkan kebimbangan sama, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga Bandar Baru Bangi, Selangor Roslan Mohamed berkata, pihak sekolah dan ibu bapa boleh menganjurkan kursus bersama agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjelaskan kesan perbuatan dan bahaya penggunaan pewarna kepada kulit.

Disiarkan pada: March 20, 2015 @ 5:52am
d