mutakhir

'Mereka rekrut siapa saja'

Langkawi: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menafikan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria turut memfokuskan kanak-kanak dan remaja menyertai mereka.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya tidak terkejut jika kanak-kanak dan remaja termasuk pelajar menyertai IS.

“Kita tak nafikan IS cuba merekrut sesiapa yang berminat untuk menyertai mereka. Kita tak terkejut kalau IS fokuskan kanak-kanak dan remaja menyertai kumpulan berkenaan.

“Sebelum ini pun seorang remaja Malaysia pernah ditangkap kerana memberi sokongan kepada IS... jadi fokus polis selain orang dewasa, fokus kita turut membabitkan kanak-kanak dan remaja termasuk pelajar.

“Kita akan siasat dari pelbagai sudut bagi mengesan mereka yang turut memperdayakan kanak-kanak dan remaja untuk menyertai IS,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup MNCTX di Lapangan Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi (LISRAM), di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas penyebaran satu video menunjukkan kanak-kanak direkrut untuk menyertai kumpulan IS sebagai tindakan memperkuatkan anggota kumpulan itu yang kini dikesan mula tersebar di Internet.

Dalam video berkenaan turut memaparkan kanak-kanak diajar mengaji al-Quran selain dilatih memegang senapang dan berperang.

Disiarkan pada: March 20, 2015 @ 5:58am
d