mutakhir

Dilema keluarga serba malang

Oleh Zulfa Mohamad

Tasek Gelugor: Dia baru berusia tujuh tahun namun Mohd Yasin Mohd Imran terpaksa hidup gelandangan bersama ibu dan bapanya yang juga orang kurang upaya (OKU) sejak setahun lalu.

Malah Mohd Yasin juga tidak dapat bersekolah berikutan sijil kelahirannya hilang dan nasib sama turut menimpa bapanya Mohd Imran Abdul Rashid, 34, yang kehilangan kad pengenalan serta kad OKU dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mohd Imran berkata, sebelum ini dia menumpang rumah ibu bapa angkatnya di Kampung Pertama, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, namun terpaksa berpindah selepas kedua-duanya meninggal dunia.

Katanya, dia dibela ibu angkatnya Aminah Hassan yang lumpuh sejak kecil dan wanita itu meninggal dunia pada 2010 diikuti bapa angkatnya, Abdul Rahim Ismail, tiga tahun kemudian.

Berikutan, itu dia bersama Mohd Yasin dan isteri Juliana Ibrahim, 33, tiada pilihan selain hidup gelandangan dengan tidur di kaki lima atau tempat yang dirasakan selesa oleh mereka kerana tidak mempunyai kediaman sendiri.

Menambahkan beban Mohd Imran, apabila dia sukar mendapat pekerjaan bagi menyara keluarganya berikutan rabun jauh sejak berusia lapan tahun itu yang semakin serius hingga dikategorikan sebagai OKU.

“Sebelum ini saya bekerja dengan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) (Bahagian Perbandaran) tetapi terpaksa berhenti pada 2009 berikutan kerap mengambil cuti untuk menjaga ibu angkat yang sakit. Namun saya tetap melakukan kerja sampingan seperti memotong rumput untuk menyara keluarga.

“Sejak setahun lalu kami hidup gelandangan termasuk tidur di kaki lima atau masjid sekitar Butterworth. Ada individu menghulurkan wang kerana simpati dan kami bernasib baik kerana kini mempunyai tempat tinggal sementara di Permatang Binjai hasil bantuan seorang peniaga,” katanya.

Sebagai bapa, dia resah memikirkan masa depan Mohd Yasin yang tidak dapat memasuki darjah satu berikutan sijil kelahiran kanak-kanak itu sudah hilang.

“Saya buntu memikirkan hal anak danjika ada bantuan modal, saya mahu memulakan perniagaan kecil-kecilan bagi menyara keluarga selain memastikan Mohd Yasin, dapat ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Seberang Prai Utara (SPU) Norazura Ahmad, yang dimaklumkan mengenai perkara itu berkata pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mengenalpasti status keluarga terbabit.

Disiarkan pada: March 20, 2015 @ 6:03am
d