mutakhir

Labur dek minat sejarah

Kuantan: Minat mendalam terhadap sejarah mendorong seorang pesara, Zainal Ariffin Zainuddin, 59, berbelanja puluhan ribu ringgit untuk mengumpul barangan antik dari dalam dan luar negara malah lebih unik apabila ada antara barangannya itu mempunyai kisah di sebaliknya.

Contohnya, wang kertas satu sen yang digunakan secara meluas di negara ini ketika era penjajahan Inggeris pada 1941 dengan kesilapan pada ejaan satu dalam bahasa jawi iaitu dieja ‘suat’ selain syiling 10 sen dan lima sen tahun 1910 dan 1940 yang dicetak berganda.

Disebabkan kelainan itu, ia menjadi antara barangan kesayangan Zainal Ariffin daripada ratusan barangan antik yang ada dalam simpanannya termasuk setem, buku nota muzik klasik, kacip pinang, gelas merdeka, topeng, kompas lama serta kotak dari China.

Katanya, selain usia sesuatu barangan antik itu, ciri kelainan yang ada pada barangan terbabit menambahkan lagi nilainya kerana ia sesuatu yang jarang ditemui dan beranggapan ia lebih unik berbanding barangan antik lain.

“Kesilapan dalam cetakan wang dan syiling bukannya sesuatu yang disengajakan kerana ia hanya mempunyai kuantiti yang sedikit dan saya teruja dapat memiliki segelintir daripadanya,” katanya yang tinggal di Teluk Sisek, di sini.

Mengenai hobinya itu, Zainal Ariffin berkata, dia mula mengumpul barangan antik selepas berpindah ke negeri ini pada 2006 selepas diperkenalkan oleh seorang rakan yang lebih lama menceburi hobi berkenaan malah kini mempunyai ratusan barangan antik sejak 1304 sehingga 1988.

“Malah, ada antara barangan terbabit yang tidak dapat diketahui usianya berikutan tiada catatan tahun buatannya termasuk syiling lama yang dipercayai digunakan pedagang Arab satu ketika dulu, kompas China serta kacip pinang dari India.

“Saya anggarkan sudah berbelanja RM15,000 hingga RM20,000 membeli barangan ini daripada kenalan dan pengumpul barangan antik lain termasuk dari dalam dan luar negara, namun tidak menganggap ia satu pelaburan yang merugikan kerana nilai semua barangan terbabit meningkat setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, barangan antik pertama yang dimiliki adalah tiga buku nota muzik klasik daripada pemuzik Beethoven, Edouard Lalo dan David yang diperoleh di United Kingdom ketika dia masih belajar di negara berkenaan selepas seorang individu mengarahkannya membuang sejumlah buku lama.

“Memiliki barangan antik memberikan kepuasan kepada diri saya kerana selain bernilai tinggi ia turut mempunyai nilai sejarah yang perlu dipelihara untuk kepentingan generasi akan datang.

“Disebabkan itu, saya tidak keberatan untuk berkongsi barangan terbabit kepada mereka yang berminat dan mungkin akan melepaskannya jika harga ditawarkan berpatutan,” katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2015 @ 6:39am
d