mutakhir

Struktur tulang tidak bercantum

Bukit Mertajam: Kebolehan istimewa memusingkan tangan kanannya 360 darjah yang dimiliki lelaki menghidap penyakit tulang rapuh, Anas Aizuddin Shuib, 26, mungkin disebabkan struktur tulangnya tidak bersambung akibat terlalu kerap patah.

Pakar Perunding Ortopedik Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang Dr Naharudin Mohamad Saifi berkata, ia mungkin turut disebabkan tisu bahagian bahu lelaki itu yang lemah kesan daripada penyakit dihidapinya.

Beliau berkata, walaupun tulang tidak bersambung, Anas Aizuddin masih boleh menggunakan tangan kanannya dengan baik berikutan masalah itu tidak menjejaskan sistem saraf dan saluran darah.

“Hasil pemerhatian secara kasar, dia boleh memusingkan tangan kanannya berkemungkinan akibat tulang patah yang tidak bersambung. Bagaimanapun, untuk mengesahkan perkara itu, pemeriksaan terperinci perlu dilakukan termasuk ujian imbasan untuk melihat dengan jelas struktur tulang anggota badan lelaki itu.

“Saya mengandaikan situasinya adalah tulang berkenaan patah dan tidak sembuh,” katanya ketika ditemui di sini.

Mengulas mengenai penyakit itu atau nama santifiknya ‘Congenital Osteogenesis Imperfecta’, Dr Naharudin berkata, setiap bayi baru lahir mempunyai kebarangkalian mempunyai penyakit itu yang disebabkan dua faktor utama iaitu keturunan atau mutasi genetik berlaku pada janin itu sendiri.

Beliau berkata, 25 peratus mereka yang menghidap penyakit itu disebabkan mutasi pada genetik janin dan bukannya kerana faktor keturunan daripada ibu atau bapa.

“Dianggarkan nisbah enam hingga tujuh daripada setiap 100,000 bayi baru dilahirkan mempunyai masalah tulang rapuh dan apa membezakan mereka ialah tahap risiko berlaku tulang patah sama ada berisiko rendah atau tinggi,” katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2015 @ 8:58am
d