mutakhir

'Lelaki plastik' berjiwa besar

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin dan Wan Azrin Syahirah Mior Zulkifli

Kepala Batas: Dia digelar ‘lelaki plastik’ kerana memiliki kebolehan istimewa memusingkan tangan kanannya 360 darjah disebabkan masalah tulang rapuh dihidapinya sejak kecil.

Namun, di sebalik fizikal terbantut itu, Anas Aizuddin Shuib, 26, sebenarnya seorang yang berjiwa besar dan lebih gemar berdikari dalam melakukan urusan sehariannya.

Malah, selain sokongan dari segi moral dan mental, keluarganya turut menyediakan perabot dan peralatan khas bersaiz kecil bagi memudahkan pergerakan dan urusan seharian dilakukannya.

Antaranya ialah meja rendah untuk membolehkannya menikmati makanan selain tiga troli khas yang diletakkan di tingkat atas rumah, tingkat bawah dan luar bagi memudahkannya bergerak dan berdikari.

Berbekalkan semangat dan hati cekal, Anas Aizuddin tidak pernah mengeluh atau berputus asa, sebaliknya ia menjadi pendorong dan semangat untuk terus berjuang menjalani kehidupan mencabar.

Katanya, dia bercita-cita menjadi usahawan berjaya dan memulakan langkah awal dengan mengambil upah membaiki telefon pintar dan komputer di rumahnya di Taman Sepakat, di sini.

“Kerana mahu berjaya, saya memberanikan diri memasuki Giat Mara dan menggunakan peluang yang ada untuk menguasai kemahiran membaiki barangan elektronik dan syukur kerana usaha itu dipermudahkan Allah SWT.

“Kini saya mengumpul modal bagi mencapai cita-cita membuka perniagaan sendiri dan berharap ada pihak membantu usaha itu. Saya memerlukan kerusi roda elektrik bagi memudahkan pergerakan dan melakukan kerja membaiki komputer,” katanya yang menerima Elaun Pekerja Cacat (EPC) RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Butterworth.

Menceritakan pengalamannya di sekolah rendah, Anas Aizuddin berkata, dia bernasib baik kerana mempunyai rakan yang prihatin dengan dirinya apabila banyak membantunya di dalam kelas.

Anas Aizuddin turut mendapat keistimewaan apabila pihak sekolah mengutamakan keselesaannya dengan memastikan dia bersama rakannya belajar di dalam kelas di tingkat bawah saja.

Bagaimanapun, katanya, dia memakai lampin pakai buang ke sekolah berikutan kesukaran membuang air di tandas disediakan.

“Saya bernasib baik apabila berpindah ke sekolah di tempat ibu mengajar dan tidak lagi perlu memakai lampin, namun meminta bantuan ibu sekiranya mahu ke tandas.

“Rakan sekelas turut menjaga saya dengan baik, namun pernah tulang tangan patah ketika bergurau dengan rakan, tetapi saya tidak memarahinya kerana tahu tidak sengaja,” katanya.

Anas Aizuddin berkata, dia tidak sesekali menganggap dirinya itu tidak normal kerana fizikalnya dan seboleh-bolehnya mahu bercampur serta melakukan aktiviti sama seperti rakan yang lain.

Disiarkan pada: March 21, 2015 @ 8:59am
d