mutakhir

Datang bicara pun sempat mencuri

Kepala Batas: Geng Awe Kelate yang sebelum ini diberkas polis kerana mencuri motosikal, terbukti berhati ‘kering’ apabila meneruskan jenayah sama semata-mata mahu ke di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi menghadiri perbicaraan, pagi semalam.

Dua daripada anggota geng berkenaan datang dari Kelantan menaiki bas ekspres dan tiba di Terminal Sementara Penang Sentral, Butterworth, pagi semalam, sebelum mencuri motosikal Honda EX5 yang diletak di Flat Bagan Dalam, kira-kira 500 meter dari terminal bas berkenaan.

Mereka mencuri motosikal berkenaan kerana mahu menghadiri perbicaraan kes mencuri motosikal di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam selepas ditahan polis Seberang Perai Tengah, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, suspek mencuri sebuah motosikal di Flat Bagan Dalam pada jam 6.20 pagi semalam, namun disedari polis yang membuat rondaan.

Beliau berkata, sepasukan polis diketuai Ketua Balai Polis Butterworth Inspektor M Thanabalan mengejar dan memintas suspek sebelum menahan mereka di sekitar Butterworth, 30 minit kemudian.

“Polis yang membuat pemeriksaan menemui beberapa alat digunakan untuk mencuri motosikal dalam raga dan hasil soal siasat, suspek berusia 20-an mendakwa mencuri motosikal untuk ke mahkamah di Bukit Mertajam.

“Motosikal berkenaan dirampas dan dibawa ke Balai Polis Butterworth untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar, di sini, semalam.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, polis SPU menumpaskan geng mencuri motosikal yang bergiat aktif sejak tiga tahun lalu dalam dua serbuan berasingan.

Abdul Rahman berkata, tangkapan pertama dilakukan jam 12.30 malam kelmarin, membabitkan seorang penunggang motosikal Yamaha 125 di Lingkaran Luar Butterworth menghala Sungai Dua.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati motosikal berkenaan menggunakan nombor plat palsu dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk siasatan lanjut.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, sepasukan polis diketuai Pegawai Risikan dan Operasi D9 SPU Asisten Superintendan Mohd Yusof Ibrahim menyerbu sebuah rumah di Bukit Minyak, Bukit Mertajam dan menahan tiga lagi suspek.

“Polis turut menemui tiga motosikal dipercayai dicuri serta komponen yang sudah dileraikan untuk dijual,” katanya.

Beliau berkata, motosikal berkenaan dilaporkan dicuri di Butterworth, Perai, Seberang Jaya serta Tasek Gelugor dan semua motosikal serta komponen bernilai RM70,000 dirampas.

Disiarkan pada: March 21, 2015 @ 10:05am
d