mutakhir

MPK sudah keluar 10 kompaun

Klang: Majlis Perbandaran Klang (MPK) memandang serius dan bakal mengambil tindakan terhadap segelintir peniaga yang masih berdegil menggunakan iklan bahasa asing di sekitar daerah ini.

Ketua Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, pihaknya akan menjalankan penguatkuasaan terhadap masalah berkenaan supaya ia tidak terus berleluasa sehingga menjejaskan imej daerah ini sebagai Bandar Diraja.

Menurutnya, setiap papan tanda dan iklan yang dipasang perlu menggunakan sekurang-kurangnya 70 peratus bahasa kebangsaan manakala selebihnya dibolehkan bahasa asing.

“Kami memandang serius masalah ini dan operasi pemantauan juga akan dijalankan supaya peniaga mematuhi undang-undang yang sudah ditetapkan.

“Sepanjang 2015 sebanyak 10 kompaun sudah dikeluarkan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan itu. Pemakaian bahasa asing sebagai bahasa kedua dibenarkan tetapi keutamaan perlu diberikan kepada bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang gagal mematuhi Undang-undang Kecil MPK 2007 itu boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: March 22, 2015 @ 7:23am
d