mutakhir

3 penyelidik cari penawar diabetes

Kuala Lumpur: Peka dengan peningkatan jumlah pesakit diabetes setiap tahun, tiga penyelidik tempatan berganding bahu mencari penawar baru berupaya memberi manfaat kepada pesakit diabetes.

Hasilnya, Pakar Perunding Endokrinologi Jabatan Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Dr Nor Azmi Kamaruddin, Pensyarah Kanan Pakar Perunding Diet dan Makanan Universiti Malaya (UM) Dr Hazreen Abdul Majid dan Pensyarah Kanan dan Pakar Pemakanan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof berjaya menghasilkan campuran spesifik strain probiotik yang mampu menurunkan kandungan gula dalam darah.

Ketua penyelidik Dr Barakatun Nisak berkata, penyelidikan itu dilakukan selama tiga bulan ke atas 136 pesakit diabetes tahap dua berusia 30 hingga 70 tahun.

“Sebelum menjalankan penyelidikan ke atas manusia, kami menjalankan penyelidikan ke atas tikus dan ia menunjukkan probiotik berpotensi menurunkan gula dalam darah.

“Selepas tiga bulan, kami dapati aras hemoglobin terglikosil (HbA1c) dan insulin pesakit menurun serta menunjukkan potensi ke arah pengurusan diabetes lebih baik,” katanya pada majlis New Findings in Diabetes Research, semalam.

Disiarkan pada: March 22, 2015 @ 8:14am
d