mutakhir

'Orang dalam punya onar'

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Surat perakuan nikah anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak iaitu Nooryana Najwa, 27, dan suami Daniyar Kessikbayev, 27, dipercayai diubah suai oleh pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebelum disebarkan di laman sosial.

Berikutan itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di laman Facebooknya mendesak JAWI supaya mengambil tindakan kepada pegawai yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah itu.

“Dalam mesyuarat pasca Kabinet, Pengarah JAWI Ustaz Paimuzi (Yahya) mendedahkan bahawa sijil nikah (surat perakuan nikah) anak PM (Perdana Menteri) dipalsukan dengan meletakkan nilai hantaran sehingga AS$500,000 (RM1.8 juta).

Dr Asyraf Wajdi mengesahkan perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan oleh pegawai jabatan agama itu sebelum bertindak menyebarkan kepada umum.

“Ya, orang dalam yang ubah suai surat perakuan nikah itu dan sebarkan ke laman sosial serta dilakukan oleh pegawai JAWI sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAWI Paimuzi Yahya dalam satu kenyataan mengesahkan surat perakuan nikah yang menjadi viral itu adalah palsu.

“Maklumat mengenai mas kahwin dan jumlah hantaran yang tertera pada surat perakuan nikah itu adalah tidak benar selain sijil berkenaan tidak ditandatangani Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jawi,” katanya.

Kandungan dokumen palsu itu antara lain menyatakan nilai mas kahwin ialah RM111 dan jumlah hantaran sebanyak AS$500,000.

Salinan dokumen asli yang diperoleh daripada JAWI memaparkan nilai mas kahwin ialah sebanyak RM5,000 tanpa menyatakan belanja hantaran.

Disiarkan pada: March 22, 2015 @ 8:16am
d