mutakhir

PKOKM sedia bantu

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Peluang ‘lelaki plastik’ Anas Aizuddin Shuib, 26, yang memasang impian bergelar usahawan berjaya cerah apabila Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) bersedia menyalurkan bantuan.

Menurut Pengerusi PKOKM Jasmie Shafie, pihaknya tiada masalah untuk membantu lelaki yang menghidap penyakit tulang rapuh sejak kecil itu demi kelangsungan hidupnya.

“Ini satu contoh yang baik dan saya yakin semangat begini dapat memberi inspirasi kepada orang kurang upaya (OKU) yang lain.

“Di pihak PKOKM, kami bersedia membantunya termasuk selok-belok menguruskan perniagaan sekiranya dia boleh menghadiri kursus keusahawanan anjuran bersama PKOKM dan Yayasan Maybank pada 28 hingga 30 Mac ini.

“Malah, kami juga boleh membantunya dari segi mendapatkan bantuan modal menerusi permohonan Skim Perniagaan OKU daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang tidak memerlukan bayaran semula, selain itu bantuan kerusi roda elektrik juga kami boleh dapatkan daripada pihak berkaitan,” katanya.

Harian Metro semalam menyiarkan kisah Anas Aizuddin memiliki fizikal terbantut dan penyakit tulang rapuh untuk menjadi seorang usahawan berjaya namun dia memerlukan bantuan bagi merealisasikan hasratnya itu.

Menurut Jasmie, beliau turut mencadangkan Anas Aizuddin menyertai pertubuhan berkaitan untuk memudahkannya mendapat pelbagai manfaat.

“Malah, saya juga berharap pihak lain mahupun kerajaan dapat bersama-sama membantu lelaki ini mendapatkan premis untuk melakukan perniagaan dengan lebih teratur dan sempurna,” katanya.

Beliau meminta Anas Aizuddin menghubungi PKOKM segera untuk memberikan beberapa maklumat penting bagi memudahkan proses menyalurkan bantuan di talian 03-40235302 atau 012-3009913.

Disiarkan pada: March 22, 2015 @ 8:23am
d