mutakhir

Dua tahun rangka pelan

Pagoh: Selepas dua tahun mengumpul maklumat dan maklum balas berkaitan pendidikan negara, Kementerian Pendidikan akan melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2015 (Pendidikan Tinggi) pada 7 April ini untuk memperkasakan sistem pengajian tinggi negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, majlis pelancaran pelan selama 10 tahun itu dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Muhyiddin berkata, sebelum merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2015, pihaknya mengambil masa hampir dua tahun untuk mengumpul maklumat dan maklum balas pelbagai pihak termasuk ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pendidikan, warga pendidik dan pakar pendidikan.

“Ia dilakukan hasil maklumat pelbagai pihak dan bukannya keputusan kementerian saja bertujuan memperkasa dan meningkatkan kualiti pendidikan.

“Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan itu, kementerian menetapkan 10 perkara utama yang menjadi asas untuk mencapai sasarannya dan ia akan diumumkan kelak.

“Ada beberapa anjakan besar iaitu 10 perkara yang akan diumumkan kelak dan kami menganggap ia dapat meletakkan universiti awam negara ke satu tahap lebih maju dan berkualiti kerana mahu menjana modal insan berkualiti,” katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian Serentak Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Sri Perkembar di sini, semalam.

Pada majlis sama, Muhyiddin menyaksikan Majlis Penyampaian Sumbangan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pagoh kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad sebanyak RM13,500 yang diserahkan ketuanya, Senator Datuk Noriah Mahat kepada Ketua Biro TV3 Johor, Yusri Sahat.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (Pendidikan Tinggi) adalah inisiatif kerajaan untuk meningkatkan mutu pendidikan negara walaupun IPT di Malaysia sudah mencapai tahap membanggakan.

Katanya, walaupun tiada pihak yang boleh menolak hakikat universiti di Malaysia melahirkan manusia berkualiti dan berkredibiliti, namun perubahan perlu dilakukan bagi memastikan graduan Malaysia lebih berdaya saing dan berkualiti hingga mampu disaingi di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, dalam ucapannya, Muhyiddin mengingatkan ahli UMNO supaya tidak mengambil mudah perubahan iklim dan ekosistem negara serta menyifatkan tiga tahun ini sebagai tempoh amat mencabar dan kritikal kepada parti itu.

“UMNO perlu pro-aktif dan faham dengan perubahan semasa dan dunia baru, terutama dengan adanya teknologi maklumat dan media sosial.

“Kalau kita lakukan semua ini, UMNO akan terus kekal dan berkuasa di negara kita.

“Selain itu, apa yang dirancang dan dilaksanakan perlu mengambil kira pandangan dan aspirasi masyarakat kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk.

“Kita mesti adil, saksama dan bertindak rasional berasaskan integriti, prinsip, undang-undang dan Perlembagaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2015 @ 9:51am
d