mutakhir

Lahir jantung terbalik

Selama: Melihat keadaan fizikalnya yang normal, tiada siapa menyangka Azmeil Azharudin, bayi berusia dua bulan itu menanggung penderitaan akibat menghidap masalah jantung kongenital.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu, pada awalnya hanya mengalami demam kuning, namun selepas beberapa hari menerima rawatan di Hospital Taiping dia disahkan doktor menghidap penyakit berkenaan pada 18 Februari lalu.

Ibu bayi itu, Nadia Abu Talib, 30, dari Kampung Lempong Kubu Gajah, di sini, berkata, anaknya sudah berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping lebih sebulan bagi pemantauan penyakitnya.

“Azmeil tidak dibenarkan pulang kerana dia bergantung sepenuhnya menggunakan alat pernafasan oksigen.

“Pihak hospital juga sudah merujuk kepada pakar jantung kanak-kanak Hospital Pulau Pinang (HPP) dan mereka menjelaskan pembedahan jantung perlu dilakukan secepat mungkin kerana keadaan Azmeil serius dan jantungnya berada pada kedudukan terbalik,” katanya ditemui di kediamannya di sini semalam.

Katanya, dia memerlukan bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan Azmeil yang mencecah RM80,000 yang akan dijalankan di Pusat Perubatan Gleneagles (GMC) Pulau Pinang.

Menurutnya, Azmeil perlu menjalani pembedahan segera bagi memulihkan saluran darah yang sempit bagi membolehkannya bernafas dengan lancar.

Nadia berkata, dia tidak mampu menanggung kos pembedahan itu kerana tidak bekerja, manakala suaminya Azharudin Ahmad 33, hanya bekerja kilang kelapa sawit dengan berpendapatan RM700 sebulan.

“Saya dan suami buntu memikirkan kos perubatan anak yang berjumlah RM80,000.

“Duit simpanan sebelum ini juga sudah digunakan untuk kos rawatan dan perjalanan berulang-alik ke Hospital Taiping yang mencecah hampir RM2,000 sebulan dan kami buntu mencari wang bagi membolehkan Azmeil mendapatkan rawatan sepatutnya,” katanya.

Katanya, dia hanya mampu berdoa kepada Allah agar ada pihak yang sudi membantu menyalurkan bantuan.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Nadia Abu Talib di talian 011-36337297/ 012-4553110 atau suaminya Azharudin di talian 012-4186730.

Disiarkan pada: March 23, 2015 @ 9:13am
d