mutakhir

Amaran keras buat BFM

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Stesen radio BFM yang bertanggungjawab menyiarkan video bertajuk ‘Hudud Isi Periuk Nasi’ diberi peringatan keras daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya berhati-hati dan tidak mencetuskan kontroversi dengan memainkan isu agama sehingga menyentuh sensitiviti serta kemarahan masyarakat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, amaran dan ingatan berkenaan turut ditujukan kepada mana-mana stesen radio di negara ini dan tidak hanya tertumpu kepada BFM semata-mata.

“Saya mengingatkan mana-mana stesen radio khususnya BFM supaya berhati-hati memandangkan sebelum ini, mereka (BFM) pernah dikenakan tindakan berhubung isu kalimah Allah.

“Sekali lagi mereka (BFM) cuba membuat isu menyentuh sensitiviti masyarakat dan kita berharap BFM berhati-hati,” katanya pada sidang media kayuhan ‘I Am PDRM’ sempena Hari Polis di Dataran Putrajaya, Presint 3 di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini siasatan terhadap video berdurasi 1 minit 55 saat itu disiarkan Khamis lalu serta menimbulkan kemarahan orang ramai apabila seolah-olah mempersoalkan tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang meluluskan pindaan Kanun Jenayah Syariah II 1993.

Dalam pada itu, Khalid berkata, beliau juga akan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai tindakan tegas terhadap stesen radio BFM.

“Seperti saya perkatakan sebelum ini, kita akan menyiasat kedua-dua pihak iaitu membabitkan BFM dan penyiar termasuk orang yang mengugut pengacara serta penulis skrip.

“Apa diucapkan Aisyah Tajuddin sedikit sebanyak dianggap cuba mempersenda agama Islam serta melukai perasaan ramai orang Islam dan perkara ini disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan,” katanya.

Menerusi seksyen itu, ia memperuntukkan kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Selain itu, Khalid berkata, polis bekerjasama dengan pihak yang berkenaan termasuk Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung siasatan terhadap pengugut yang mengugut Aisyah.

“Kami akan menyiasat dan mengesan mereka kerana bukan senang untuk mengesan orang menggunakan pelbagai nama dalam media sosial ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebarang maklumat diterima berkait 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan disiasat sementara menunggu Jabatan Audit Negara menjalankan tugas mereka.

“Apa jua maklumat diterima pada masa jabatan itu menjalankan tugasnya, kami akan mengambil tindakan. Sebelum ini, saya ada menyatakan perlu tunggu laporan kemudian baru tindakan diambil.

“Memandangkan kita ada menerima laporan, polis perlu mengambil tindakan atas maklumat diterima itu dalam masa Jabatan Audit Negara menjalankan tugas mereka,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2015 @ 9:17am
d