mutakhir

Pertahan rekod

Oleh Rosliza Mohamed dan Nor Amalina Alias

Kota Bharu: PAS mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka apabila memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu dengan majoriti 10,092 undi, semalam.

Kemenangan calonnya, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad yang meraih 10,899 undi sekali gus mempertahankan rekod tanpa kalah PAS di DUN berkenaan sejak disandang bekas penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1986.

Ahmad Fathan menang ke atas empat calon Bebas iaitu Sharif Mahmood yang memperoleh 807 undi, Fadzillah Husin (89), Aslah Mamat (27) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (51).

Keputusan itu diumumkan Pengurus Pilihan Raya, Ibrahim Bakri Mat Deris di Maktab Rendah Sains MARA Pengkalan Chepa, di sini, yang turut disaksikan wakil parti bertanding.

Turut kelihatan di dewan pengumuman adalah Aslah manakala tiga lagi calon Bebas tidak hadir.

Dalam pengumuman itu, Ibrahim Bakri berkata, sebanyak 140 kertas undi ditolak.

Disebalik kemenangan itu, rekod PAS tercalar apabila peratus keluar mengundi lebih rendah berbanding Pilihan Raya Umum lalu yang mencatatkan 85.9 peratus.

DUN Chempaka mempunyai 21,890 pemilih dengan 20,390 adalah pengundi biasa, 1,497 pengundi awal dan tiga pengundi luar negara.

Sehingga sembilan pusat pengundian ditutup jam 5 petang, semalam, hanya 12,035 pemilih atau 55 peratus keluar mengundi.

Nik Abdul Aziz pada PRU-13 lalu menang kerusi DUN Chempaka dengan 12,310 undi menewaskan Barisan Nasional (BN) yang diwakili Wan Razman Wan Abd Razak yang mendapat 5,810 undi.

Disiarkan pada: March 23, 2015 @ 9:20am
d